CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

( Cerita ) Selepas maghrib..Di Padang Solar ..kena sergah ngan ...

  [Copy link]
Post time 18-7-2013 04:28 PM | Show all posts
leka baca...best....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 18-7-2013 05:26 PM | Show all posts
den ponah baco cito ni..huhu
Reply

Use magic Report

Post time 18-7-2013 05:40 PM | Show all posts
Tunggu episod seterusnya...
Reply

Use magic Report

Post time 18-7-2013 07:35 PM | Show all posts
hai mambang tanah mambang air mambang unta mambang preve.. mambang berasal dari rumah peYno..
Reply

Use magic Report

Post time 18-7-2013 08:13 PM | Show all posts

buku tok awang ngah ... mmg best...

dulu selalu beli buku dia sampai berpuluh2  dlm koleksi... banyak hilang sebab kawan pinjam...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-7-2013 12:33 AM | Show all posts
6~ Mayat Bernyawa Kuat Makan

Sudah lama saya bercadang mahu berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah disebabkan saya tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya. Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah menganggap saya berlebihan, malah lebih penting lagi dari Aki Sahak.

Apa lagi Aki Sahak sendiri yang menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.

Perkara keturunan bukanlah perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak selalu saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru dengan Pak Tua Mahat saya itu. Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal dunia.

Sebab itulah saya mengambi keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau pun bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih belum diputuskan oleh pihak atasan.

Apabila saya beritahu kepada Aki Sahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah berat mahu melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut. Berkali-kali dia mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu bukanlah untuk membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi dirinya. Sedangkan saya sendiri tidak tahu apakah ukuran yang dibuatnya.

Setahu saya Aki Sahak sudah lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua Mahat kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah, dia menetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya hampir 20 tahun jarang pula dia balik ke kampung.

Sebab itulah hubungan saya hampir terputus dengannya. Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-calang orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya. Bagaimanapun semasa abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya masih ingat akan kejadian yang menimpa arwah Aki Mat Tera.

Lama Aki Mat Tera jatuh sakit menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar namun Aki Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula orang yang sihat kalau melawan makan dengannya.

Isterinya bercadang mahu memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya. Tetapi Aki Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.

"Aku pawang besar..." jelasnya membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat.

"Takkan orang baru nak belajar berpawang nak mengubat aku" katanya angkuh.

"Jangan begitu" pujuk Simit masih mengharapkan suaminya mehu berubat.

"Pawang ni bukan kira besar kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil mengubat boleh sembuh" tegasnya mencemik.

Meluat juga dia dengan perangai sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak Tua Mahat.

"Aku tak mahu berubat dengan Mahat" dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat.

"Aku tahu siapa Mahat, dulu aku makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat aku" dia terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat.

"Kalau tak mahu dengan Mahat, cuba-cubalah dengan Sahak" Simit tetap mendesak.

"Sahak nak mengubat aku..." Aki Mat Tera tersengih mengejek.

"Budak hingus meleleh nak ubat aku. Kau tau, dia tu belajar dengan aku!" katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

Simit tidak tertahan dengan sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin kurus hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak ada kulit, tulang pun habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera.

Malah sepanjang dia sakit itu Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke rumahnya. Dia menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki Sahak. Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat itu. Hinggalah Aki Mat Tera tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu diubat oleh Pak Tua Mahat. Bagaimanapun selera makannya tetap terbuka.

Dengan tidak setahu Aki Mat Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat Aki Mat Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak Tua Mahat menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya.

Setelah Aki Sahak datang dia pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada mulanya Aki Sahak memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak Tua Mahat barulah dia mengalah.

"Ini bukan perkara Abang Mat Tera yang kita hadapi" jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak.

"Perkara lain yang kita sama-sama tak tau..." suaranya keras apabila Aki Sahak enggan menemui Aki Mat Tera.

"Kecil hati aku Abang Mahat" Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya. "Kecil hati aku fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah patut dia tuduh aku macam tu!" ujarnya menahan perasaan kesal.

"Ah, cakap setan kau nak ikut" Pak Tua Mahat mendengus.

"Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!" dia menambah macam memarahi sikap Aki Sahak kerana enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit.

"Iyalah dia yang ikut cakap setan..." balas Aki Sahak.

"Fasal itu kita jangan peduli".

"Sakit hati aku dibuatnya!".

"Kau nak jadi setan juga?".

"Dia cakap tak fikir dulu...".

"Kau nak jadi setan?".

"Tak patut dia tuduh aku macam tu...".

"Kau nak jadi setan?".

"Siapa nak sabar Abang Mahat...!".

"Kau nak jadi setan?" suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah.
Dia terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat.
"Kau nak jadi setan?" ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat.

Dia merasa tidak patut Aki Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh mahukan kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak tenteram. Sebablah cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan.

Sepatutnya Aki Sahak tidak boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat Tera itu. Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih muda dan menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan tuduhan orang yang sedang terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya sudah nyanyuk.

Mahu tidak mahu Aki Sahak terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat Tera. Jiran-jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua Mahat sanggup mengubatinya.

Sebaik saja Pak Tua Mahat dan Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-kial dia mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari hujung kaki Aki Mat Tera bersama emak saya..
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 19-7-2013 12:34 AM | Show all posts
6~ Mayat Bernyawa Kuat Makan

"Aku tau kau berdua nak berbini dengan Simit..." gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun.

"Sabarlah Abang Mat Tera" emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun.

"Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok..." ujar emak saya lembut.

"Mahat nak ubat aku..." dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya.

"Dia bukan nak ubat aku, dia nak jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan Simit" katanya lagi menggertap bibir.

Saya lihat Simit menangis teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu. "Astaghfarullah al-azzim" keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.

"Jangan ambil hati Kak Simit" emak saya memegang bahu Kak Simit.

"Orang sakit tenat memang macam tu. Cakapnya merepek" ujarnya memujuk.

Simit tidak menyahut. Dia mengangguk-angguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi.

"Aku tau Simit, aku tau..." Aki Mat Tera terus mengejek.

"Kau berzina dengan Mahat, kau berzina dengan Sahak" katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya.

"Tutup mulut kau Abang Mat Tera!" jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera.

Kalaulah tidak mengenangkan jiran-jiran ramai berkumpul di ditu, memang sanggup dia menerkam abangnya. Dia tidak peduli lagi fasal abangnya sakit terlantar berbulan-bulan di tempat tidur.

"Sahak..." Pak Tua Mahat memarahi Aki sahak.

"Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat Tera, kau bercakap dengan setan. Ingat tu...!" katanya mengerling Aki Sahak yang masih kelihatan marah.

Aki Sahak tertunduk. Dia sedar tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan. Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang kandungnya sendiri.

Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat, namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera masih dapat mengingat semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya itu tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari hatinya sendiri yang mulai cemburu terhadap isterinya.

Sudah berbulan-bulan dia terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah melarang supaya jangan meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.

"Kau mesti banyak bersabar" ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak.

"Usah nak berpura-pura Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah berkali-kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau..." Aki Mat Tera mengejek.

Simit menangis tersedu-sedu mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki Mat Tera sedang sakit tenat. Mungkin juga boleh dianggap membuang tebiat, kerana masanya sudah semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat.

"Kau pandai berpura-pura! Kau berzina dengan bini orang! Dengan Simit!” pekik Aki Mat Tera terketar-ketar.

Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera. biarlah Aki Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak berundur. Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu.

Setelah lama Pak Tua Mahat membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta bagaikan mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah.

"Bangsat kau Simit..." gerutu Aki Mat Tera.

"Dah aku cakap Mahat dengan Sahak jangan jangan diberi naik ke rumah ni, seksa aku!" dia merintih-rintih kesakitan.

"Kau tak beri aku dengan Sahak datang, fasal takut rahsia kau terbuka!" tiba-tiba Pak Tua Mahat membentak.

"Rahsia apa?" Aki Mat Tera tersengih-sengih bagaikan orang yang tersipu malu.

"Sekarang pergi dari sini!" jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya.

"Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak nak menguruskan Mat Tera!" suaranya keras macam memberi amaran yang mengancam.

"Pergi nak ke mana?" tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.

Ketika ini semua jiran-jiran yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak Tua Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya, masa itu dia sendiri sudah nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal kerana memarahi abangnya apabila dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri.

Aki Sahak ikut sama menyertai Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki Mat Tera seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga itu tidaklah jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung. Lembaga besar itu pun seakan-akan asap pekat saja.

"Tinggalkan Mat Tera...!" perintah Pak Tua Mahat.

"Nak tinggalkan Mat Tera atau kami serang kamu dengan petir" Aki Sahak pula mencelah.

Lembaga itu memerhatikan Pak Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya.

Dia masih juga meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula dilihatnya seperti bayi tidur tidak bergerak langsung.

"Kau berdua..." sahut lembaga besar seperti asap tebal itu.

"Jangan ganggu aku. Ini anak aku yang mesti aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari aku"

Dia ketawa mengejek lalu melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua Mahat.

Dengan pantas Pak Tua Mahat menangkap besi serampang itu. Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.

"Mat Tera tu abang aku, bukan anak kau" kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat dihembuskan kepada lembaga berkenaan.

Ketika ini petir memancar memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama kemudian dia bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi.

"Sia-sia aje kerja kau Sahak"

Lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir tadi.

Belum sempat dia duduk tetap, Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti gunung menimpa kepala lembaga berkenaan. Dia terhimpit di bawahnya meronta-ronta mahu melepaskan diri. Puas dia terkial-kial akhirnya dapat juga dia keluar dari bawah gunung yang menimpa dirinya.

"Nampaknya kau nak bunuh aku, Mahat" pekik lembaga itu meradang.

"Memang aku nak bunuh kau" sahut Pak Tua Mahat pula mengejek.

"Sekarang, tinggalkan Mat Tera!" ujarnya mencabar lembaga tersebut terus bertarung.

Lembaga itu tertawa menyakitkan hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus tombak menuju ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu.

Dia masih juga tertawa mengejek Pak Tua Mahat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-7-2013 12:35 AM | Show all posts
6~ Mayat Bernyawa Kuat Makan

Tetapi Pak Tua Mahat tahu lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan. Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya tidak memberi bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji kekuatan iman insan. Sekiranya insan  cepat putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.

"Kita serang serentak Sahak..." Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak.

Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut.

Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.

"Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.

"Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras.

Dia tidak berhenti dari terus menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan.

Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat tidur.

Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi. Sehingga sampai 333 kali  Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.

"Cukuplah, terseksa aku!" rintih lembaga itu merayu.

"Kalau takut terseksa, pergi sekarang" perintah Pak Tua Mahat.

"Aku tak boleh tinggalkan anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri.

"Boleh atau tak boleh kau mesti tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun.

"Ini anak aku" sahut lembaga itu berkeras.

"Sahak, teruskan..." Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.

"Jangan, jangan..." lembaga itu menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.

"Tak tahan aku bahang api, panas..." ujarnya merayu-rayu.

"Aku beri tempoh lima minit" Pak Tua Mahat memberi amaran.

"Kalau kau tak pergi juga, aku akan hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.

Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap.

Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur.

Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi.

Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.

"Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara terketar-ketar.

"Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat.

"Kau mahu kami serang lagi...?" tanya Aki Sahak mengeraskan suara.

"Jangan, ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan balik" katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera.

"Datang tau, balik tak tau ye..." Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.

"Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.

Pak Tua Mahat mengangguk. Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu. Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera sendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.

"Kak Simit jangan terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera.

"Selama ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang" beritahu Pak Tua Mahat.

"Habis, apa kakak nak buat?"

Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.

"Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas Pak Tua Mahat.

Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.

Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.

Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah musuhnya.

Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu.

Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.

Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki Sahak.

Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit?

Inilah yang susah hendak dijawab.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-7-2013 12:35 AM | Show all posts
6~ Mayat Bernyawa Kuat Makan

Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.

Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.

Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya.

Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap-kuap di tempat kerja menahan mengantuk.

Pernah juga isteri saya bergurau dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.

Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja.

Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman.

"Ada apa Sali?" tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu.

"Tak payah masuklah ustaz..." sahut Sali tersengih-sengih.

"Aki Sahak panggil?" tanya saya menduga.

Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh Aki Sahak.

Dia mengangguk.

"Kalau macam tu, masuklah dulu"

Saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu.

"Masuklah, kita minum kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..." kata saya menyuruhnya masuk dulu.

"Elok kita cepat ustaz..." ujar Sali mendesak.

"Tak apa, masuklah dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk.

Sali menjadi serba salah apabila didesak.

Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.

"Takkan nak cepat sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir.

"Datang cuma nak ajak ustaz aje?" katanya terus berjalan ke dapur.

Sali tersengih-sengih.

Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti segera datang semula membawa saya bersama.

"Apa halnya?" tanya saya.

"Abang Amud ajak ustaz cepat" dia memberitahu.

"Apa halnya...?" ulangi saya.

Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya, mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu.

Tetapi dia tetap membisu. Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-bagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki tersebut kembali kepadanya.

Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh.

Sedangkan gadis berkenaan menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis  itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.

"Apa halnya?" soal saya lagi.

"Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja" jelasnya serba salah.

"Iyalah, cepat nak ke mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang.

Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai pengalaman yang lebih dari saya.

Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.

"Cepat, nak ke mana?" saya mendesaknya.

Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.

"Bagilah can ustaz rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik.

"Abang Amud yang suruh jemput" beritahu Sali tersengih-sengih.

"Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya.

Sebenarnya isteri saya bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa.

Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud sejak lama dulu.

"Minumlah dulu..." pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali.

"Lepas tu nak ambil ustaz, ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum.

Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu.

"Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu.

"Mengapa Aki Sahak?" tanya saya.

"Entah..." jelas Sali perlahan.

"Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta sangat ustaz datang cepat." katanya bercampur rusuh.

Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan..
Reply

Use magic Report

Post time 19-7-2013 04:12 PM | Show all posts
encikWawad posted on 18-7-2013 10:14 AM
awang vampiro ni bukankah nizam zakaria yang tulis?
pengarah cinta kura kura tu?

rasanyer ramli awang mursyid kot. saya bce pon da lme. mse skolah dlu. tp citer dier mmg the best lah.
Reply

Use magic Report

Post time 19-7-2013 06:45 PM | Show all posts
zakutaki91 posted on 19-7-2013 04:12 PM
rasanyer ramli awang mursyid kot. saya bce pon da lme. mse skolah dlu. tp citer dier mmg the best  ...

maybe tajuk sama, saya baca awang vampiro di blog nizam zakaria

http://nizamzakaria.diaryland.com/avepilog.html
Reply

Use magic Report

Post time 19-7-2013 07:44 PM | Show all posts
encikWawad posted on 19-7-2013 06:45 PM
maybe tajuk sama, saya baca awang vampiro di blog nizam zakaria

http://nizamzakaria.diaryland. ...

eh. tp jln citer pon cm sme je.
da x igt da. lme sgt dlu bce.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-7-2013 01:43 AM | Show all posts
wokay ...
ni nak up date setiap hari sampai malam Hari Raya .... insyaAllah ...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-7-2013 01:46 AM | Show all posts
7~ Mayat Menjadi Berat Tetiba

Madrasah Tok Aji dibina di depan rumahnya saja. Ramai penuntut-penuntut yang datang belajar di situ. Ada yang datang dari Johor, ada yang datang dari Pahang, ada yang dari Selangor dan ada yang datang dari Negeri Sembilan. Saya ikut sama belajar di madrasah Tok Aji, kerana ayah saya lebih suka saya memulakan pelajaran pondok. Itu pun dihantar pada sebelah petang saja, kerana paginya ayah mahu saya belajar di sekolah Melayu atau sekarang ini di sekolah rendah.

Kegiatan saya masa di madrasah Tok Aji ini memang cergas. Saya pernah memenangi pertandingan syarahan seluruh daerah bagi murid-murid sekolah agama termasuk sekolah pondok. Ustaz Noor yang membimbing saya hingga menjadi johan syarahan itu sangat gembira.

Tetapi yang hendak saya ceritakan di sini bukanlah pengalaman ketika saya mengaji di madrasah Tok Aji. Saya tertarik dengan beberapa cerita Tok Aji mengenai kisah masa remajanya ketika di Sumatera lagi.

Seperti saya telah jelaskan, Tok Aji adalah berasal dari Sumatera. Kemudian merantau ke Tanah Melayu ketika umurnya sudah meningkat dua puluhan. Sebelum datang ke kampung di daerah saya dan bernikah dengan nenek saya iaitu emak ayah saya, Tok Aji sudah menikah di Semenyih, Selangor. Dia juga menikah di Singapura dan di Kota tinggi, Johor.

Apa yang Tok Aji ceritakan ialah pengalamannya semasa di Sumatera dari aruah ayahnya. Ketika ini seorang pelajar bertanya kepada ayah Tok Aji mengenai tingkah laku orang yang nazak, sama ada mereka yang tersenyum itu sudah ternampak ganjaran baik dari Allah.

Ayah Tok Aji menerangkan belum tentu orang yang nazak itu tersenyum kerana ternampak ganjaran dari Allah. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Boleh jadi orang yang tersenyum tatkala nazak itu sedang mendengar janji-janji iblis yang menunggu peluang, manakala orang yang masam mukanya itu sedang memarahi iblis yang cuba mengganggu.

"Kita tak tahu rahsia itu..." jelas Tok Aji semasa mengajar apabila saya sudah mula dewasa.

Tok Aji juga menceritakan tentang seorang yang terkenal sebagai ahli agama di Sumatera, yang mempunyai madrasah sendiri. Dia juga digelar orang ulama di kampung tersebut. Ulama ini mempunyai seorang anak yang mempunyai kelulusan dari Mesir.

Satu hari ulama itu pun meninggal dunia. Selang beberapa hari selepas kematiannya orang-orang kampung menjadi terkejut melihat seekor  harimau sedang wirid di atas masjid. Apabila dipandang dari belakang rupanya seakan-akan ulama yang baru meninggal dunia itu.

Tiap-tiap waktu Maghrib harimau berkenaan dilihat ada di tempat ulama itu selalu duduk. Disebabkan orang-orang kampung takut dengan kehadiran harimau tersebut, mereka pun memberitahu kejadian itu kepada anaknya. Setelah dilihat oleh anaknya, jelaslah kepada dia memang harimau itu adalah jelmaan dari ayahnya.

Alangkah anehnya seorang ulama apabila mati telah menjelma menjadi harimau. Sebagai orang yang berpelajaran tinggi dalam agama, si anak tadi terus datang kepada harimau yang sedang wirid itu.

Berkatalah si anak, "Ayah, apa boleh buat kehendak Allah begini. Kita tak boleh menolak iradatNya. Bagaimanapun janganlah ayah datang lagi ke sini, kerana orang-orang kampung takut dengan keadaan ayah sekarang”.

Mendengarkan kata-kata si anak itu maka harimau itu menangis. Air matanya mengalir dari pelupuk mata, dia hanya mengangguk-angguk seolah-olah faham akan kata-kata manusia. Kemudian dia dipimpin oleh si anak turun dari masjid lalu dibawa balik ke kuburnya. Dia ghaib sebaik saja sampai ke atas kubur.

"Rahsia demikian pun hanya Allah saja yang Maha Mengetahui..." Tok Aji menerangkan.

Memang seronok mendengar Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya semasa menerangkan sesuatu kejadian yang dianggap aneh oleh orang. Kerana bagi Tok Aji tidak ada satu kejadian pun di muka bumi ini yang aneh, disebabkan semua itu adalah di dalam kudrat dan iradat Allah belaka.

Dalam masa Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya inilah Dolah Moyok datang termengah-mengah mencari Tok Aji. Tergagap-gagap Dolah Moyok bila ditanya mengapa dia tercungap-cungap macam dikejar anjing gila. Lama Dolah Moyok jadi ayam berak kapur, barulah dia dapat bertenang.

"Mengapa kau ni, ada apa halnya?" Tok Aji geli hati dengan kelakuan Dolah Moyok termengah-mengah berlari mendapatkan dia di madrasah.

"Mak, minta Pak Aji datang ke rumah" jelas Dolah Moyok masih lagi tercungap-cungap menahan mengah.

"Apa halnya?" Tok Aji mendesak.

"Dia suruh Pak Aji datang aje..." beritahu Dolah Moyok tidak ketahuan.

Disebabkan Dolah Moyok tidak dapat menerangkan maka Tok Aji tidaklah bertanya lebih lanjut. Sebaliknya dia tersengih-sengih geli hati melihatkan telatah Dolah Moyok.

"Kau balik dulu, nanti Pak Aji datang" kata Tok Aji.

Dolah Moyok terus balik. Dia tidak peduli sama ada Tok Aji datang atau tidak. Dia pun tidak mahu menunggu Tok Aji.

Tetapi Tok Aji tahu Dolah Moyok itu bodoh-bodoh alang. Salahnya, Mak Munah sendiri yang mengharapkan anaknya itu. Sudah tahu Dolah Moyok bodoh-bodoh alang mengapa diserahkan pada dia membuat urusan. Bagaimana kalau Tok Aji menyangka urusan itu tidak penting, dan dia sengaja lambat datang?

Puas memikirkan mengapa Dolah Moyok datang tergesa-gesa, barulah Tok Aji mengambil keputusan mahu melihat segera masalah yang dihadapi oleh Mak Munah. Kalau tidak perkara mustahak tentulah Mak Munah tidak tergesa-gesa menyuruh Dolah Moyok menjemput.

Bagaimanapun Tok Aji mengajak nenek pergi bersama.

Ketika Tok Aji sampai di rumah Mak Munah keadaan di dalam rumah itu muram. Mak Munah menangis teresak-esak. Dolah Moyok duduk di sudut serambi terkebil-kebil mata. Dua tiga orang jiran sudah pun sampai terlebih dulu dari Tok Aji. Melihat keadaan itu Tok Aji menjadi bingung.

"Mengapa ni...?" tanya Tok Aji memerhatikan Mak Munah.

"Abang Aji dah lambat..." Mak Munah mengongoi hiba.

"Mengapa?" ulangi Tok Aji.

"Masuklah ke dalam" katanya dengan tidak menerangkan apa-apa.

Tok Aji tidak membantah. Dia terus masuk ke dalam mahu memastikan apakah yang menyebabkan Mak Munah muram. Apabila dia masuk ke dalam dilihatnya anak gadis Mak Munah terlentang tidak bergerak. Darah mengalir di mulut gadis itu. Nafasnya juga tidak berombak-ombak lagi seperti sewaktu Dolah Moyok berkejar mendapatkan Tok Aji.

"Milah, Abang Aji" jelas Mak Munah tersedu-sedu.

"Milah dah tak ada, dah tak ada"
Dia masih mengongoi menahan kesedihan yang menimpa ke atas anak gadisnya itu.

Milah baru berumur 16 tahun. Orangnya memang cantik, sebab itu di kampung dia dikenali dengan panggilan Milah Cantik. Kerana kecantikan Milah, ramai pemuda-pemuda yang terpikat kepadanya. Tetapi bukanlah senang mahu memikat Milah.

Milah masih boleh mengawal dirinya dari digoda. Apa lagi dia mendapat didikan agama dari madrasah Tok Aji. Bagaimanapun hanya beberapa bulan sebelumnya malapetaka menimpa diri Milah Cantik. Dia didapati mengandung enam bulan. Setelah perutnya membesar barulah berita dia mengandung itu pecah.

Mak Munah sudah pun menemui Tok Aji meminta doanya supaya kandungan itu digugurkan, tetapi Tok Aji enggan. Tok Aji nasihatkan supaya biarkan saja Milah Cantik lahirkan bayi dalam kandungan itu sampai selamat. Manakala Milah Cantik pula tidak mahu memberitahu siapakah yang melakukan sehingga dia mengandung.

"Kalau kita buang, sama juga macam membunuh" jelas Tok Aji pada Mak Munah.

"Apa nak dimalukan kepada manusia, sedangkan kepada Allah tidak malu ketika melakukannya" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bersabar.

Tetapi Mak Munah tidak dapat menahan sabar. Dia mahu menghalau saja Milah Cantik dari rumah kerana memberi malu kepada keluarga. Marah sangat dia dengan perbuatan anak gadisnya itu. Sia-sia dia menyuruh belajar agama di madrasah Tok Aji. Sia-sia pelajaran agama yang dididik oleh Tok Aji selama ini hingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga dan kampung halaman sendiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-7-2013 01:47 AM | Show all posts
7~ Mayat Menjadi Berat Tetiba

"Jangan bertindak terburu-buru..." kata Tok Aji lagi mengingatkan Mak Munah.

"Boleh jadi bukan salah Milah. Boleh jadi dia diperkosa orang, sebab itu dia malu menerangkan siapa yang melakukannya" dia menyabarkan Mak Munah yang sudah mula hilang punca akibat malapetaka yang menimpa keluarganya itu.

Tidak pula disangka oleh Tok Aji tindakan Milah selanjutnya sampai demikian. Baru beberapa hari sebelum itu Tok Aji menasihatkan Milah Cantik supaya bersabar. Tok Aji sendiri meminta Milah Cantik menerangkan siapakah lelaki yang telah melakukan perbuatan terkutuk itu.

Milah Cantik menceritakan kepada Tok Aji dengan linangan air mata. Segala rahsianya dicurahkan kepada Tok Aji. Atas sebab-sebab inilah Tok Aji meminta dia bersabar, kerana pada pendapat Tok Aji kesalahan itu tidak seharusnya dibebankan kepada Milah Cantik. Sayangnya, Milah Cantik tidak dapat juga menerima nasihat Tok Aji. Dia membunuh diri dengan meminum racun tikus yang digunakan oleh Mak Munah untuk meracun tikus di sawah.

"Kalau saya cepat sampai pun, mungkin Milah tak dapat diselamatkan Munah" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bertenang.

"Ajalnya sudah ditentukan demikian, siapa pun tak dapat menyelamatkan..." keluh Tok Aji lalu menutup mayat Milah Cantik.

Bila mengenangkan cerita Milah Cantik terasa juga sebaknya dada Tok Aji. Tidak disangkanya gadis secantik Milah itu sanggup meminum racun tikus hanya disebabkan mengandung. Tetapi Tok Aji sudah menasihatkannya supaya bersabar, sayangnya Milah Cantik tidak dapat menahan kesabaran.

Sebagai gadis cantik, Milah Cantik selalu diusik oleh pemuda-pemuda yang ingin memikatnya. Kadangkala usikan itu sampai menyakitkan hati pula. Akibat dari usikan yang sudah melampaui batas itu, sekali sekala Milah Cantik terpaksa juga mengeluarkan kata-kata kesat. Inilah yang terjadi dengan seorang duda bernama Lajak Jongang apabila mengusik Milah Cantik.

Kalau mahu dikira tua Lajak Jongang tidaklah tua sangat baru berumur kira-kira 38 tahun. Tetapi tidaklah patut dia cuba memikat gadis baru berumur 16 tahun seperti Milah Cantik. Dia bercerai dengan isterinya disebabkan Lajak Jongang suka main daun terup berjudi. Kadangkala semalaman tidak balik ke rumah.

Setelah bercerai Lajak Jongang jadi miang tidak menentu. Pantang nampak dahi licin dia akan cuba memikat. Mahu dikira tampan tidaklah tampan Lajak Jongang ini. Kulitnya putih kuning, tetapi bertubuh kurus ceding. Giginya jongang sedikit dan mukanya banyak ditumbuhi jerawat.

"Hai Milah..." tegur Lajak Jongang ketika Milah Cantik singgah membeli biskut di kedai Mamak Kadir.

"Orang cantik bertambah cantik bila pakai kurung merah jambu" katanya mengusik.

Milah Cantik tidak menyahut. Dia mengerling masam. Menyampah sangat dia dengan Lajak Jongang. Tidak sedar diri sudah beranak lima, cuba nak memikat gadis seperti dia. Bukan sekali dua Lajak Jongang bersikap demikian. Sudah selalu sangat dia mengusik bila bertemu dengan Milah Cantik.

"Janganlah marah, takkan tak boleh nak bergurau sedikit" usik Lajak Jongang lagi.

Dua tiga orang pemuda ada tercongok di bangku panjang di kedai Mamak Kadir itu sedang menunggu kawan-kawan lain mahu bermain terup, tertawa berdekah-dekah mengejek Lajak Jongang cuba memikat Milah Cantik.

"Anak orang jangan diusik Abang Lajak" kata seorang pemuda.

"Nanti kena ludah baru padan jadi ubat jerawat..." ujarnya macam mahu menyakitkan hati Lajak Jongang.

Marah juga Lajak Jongang bila diungkit fasal mukanya yang penuh jerawat itu. Mahu saja dipeluknya Milah Cantik di situ untuk membuktikan pada anak-anak muda itu bahawa dia masih boleh memikat gadis cantik seperti Milah Cantik.

"Kalau aku nikah dengan Milah baru padan muka engkau orang" sahutnya kesal kerana diejek.

"Bagi can orang muda Abang Lajak" anak-anak muda yang bertenggong di bangku panjang terus mengejeknya.

"Abang Lajak dah tua, anak dah empat lima orang. Nak bersanding pun dah tak padan" siul mereka melangsing ikut sama mengusik Milah Cantik.

"Kau tengoklah nanti..." marah sangat Lajak Jongang dipersendakan oleh anak-anak muda.

"Kalau Lajak tak bersanding atas pelamin dengan Milah Cantik, jangan haraplah kau orang nak bersanding. Kempunanlah engkau orang semua" ujarnya menggertap bibir.

Anak-anak muda terus ketawa mengejek. Masakan Milah Cantik boleh terpikat dengan Lajak Jongang kaki main terup pakau. Rupa pun tidaklah boleh memikat. Sudahlah muka tirus, jerawat batu pula timbul dua tiga hingga muka jadi bokop. Lainlah macam P.Ramlee bintang filem terkemuka ketika itu. Walaupun badan kurus ceding, muka bokop berjerawat, P.Ramlee boleh menyanyi, berlakon dan terkenal. Siapa yang tidak tergila-gilakan bintang filem masa itu.

Tetapi Lajak Jongang orang kampung menoreh getah. Asyik pula menghabiskan masa di belakang kedai kopi Mamak Kadir bermain terup pakau. Ada isteri pun lari meninggalkan dia. Macam mana pula ada keinginan memikat Milah Cantik gadis comel baru berumur 16 tahun itu.

"Jangan pungguk rindukan bulan Abang Lajak..." ketawa budak-budak semakin meninggi.

Terasa pada Lajak Jongang dia benar-benar dipandang seperti lelaki tidak berharga di sisi wanita. Mentang-mentanglah isterinya lari menuntut cerai, tidak bererti dia tidak dihargai oleh isterinya.

Malu benar-benar dihina oleh anak-anak muda itu di depan Milah Cantik. Dia terus merapati Milah Cantik tersengih-sengih.

"Milah..." dia tersenyum menegur Milah Cantik.

"Ah, sudah..." bentak Milah Cantik mencapai biskut yang dibelinya dari kedai Mamak Kadir.

"Tak padan dah tua nak jadi ulat bulu. Kalau miang sangat mengapa biarkan Kak Dah lari dari rumah" kata Milah Cantik marah. Tersinggung sangat dia dengan sikap Lajak Jongang tidak sedar diri itu.

"Hei, Milah..." panggil Lajak Jongang serba salah.

Tetapi Milah Cantik sudah pun berlari keluar dari kedai Mamak Kadir.

Anak-anak muda di bangku panjang terus ketawa mengejek. Tebal rasanya muka Lajak Jongang mendengar kata-kata Milah Cantik tadi. Perkara Midah lari meninggalkan dia tidak wajar diungkit oleh anak gadis seperti Milah Cantik. Mungkin Midah melarikan diri disebabkan selalu meleteri dia, menyebabkan dia cepat naik angin.

Dia benar-benar merasa terhina bila seorang gadis mentah berani mempertikaikan keruntuhan rumahtangganya. Lajak Jongang terus meninggalkan kedai Mamak Kadir dalam ejekan anak-anak muda yang ketawa berdekah-dekah.

Semalaman Lajak Jongang tidak dapat melelapkan mata. Malu benar dia mendengar kata-kata Milah Cantik di depan anak-anak muda yang suka mengejek. Kalau Milah Cantik tidak sudi menyahut pun janganlah ungkit fasal kegagalan rumahtangganya dengan Midah.

Esoknya pagi-pagi lagi Lajak Jongang menemui Tok Batin di hulu kampung. Hampir sebulan dia berulang alik menemui Tok Batin sehingga dia tidak pernah lagi menjenguk muka di kedai Mamak Kadir. Kuranglah kaki main terup pakau dengan ketiadaan Lajak Jongang.

Tup-tup satu hari terjongol saja muka Lajak Jongang di kedai Mamak Kadir. Apabila dipelawa main terup, dia terus saja tumpang sekali. Semasa bermain ini anak-anak muda juga mengusiknya. Mereka mengatakan Lajak Jongang merajuk kerana Milah Cantik tidak mahu melayan.

"Merajuk, siapa nak pujuk Abang Lajak!" Johar menyinggung bahunya sambil tersengih-sengih.

"Takkan Milah Cantik nak datang pujuk" celah Leman pula.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh untuk menyakitkan hati Lajak Jongang. Tetapi Lajak Jongang tidak marah.

Dia hanya tersenyum saja, walaupun mukanya merah padam menahan marah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-7-2013 01:48 AM | Show all posts
7~ Mayat Menjadi Berat Tetiba

"Nanti Abang Lajak gigit jari..." cepat-cepat Kahar menyampuk.

"Milah Cantik selalu jeling-jeling Johar nampaknya sekarang ni" ujarnya disambut ketawa berderai.

Dalam masa mereka mengusik-ngusik Lajak Jongang itu, Milah Cantik datang ke kedai Mamak Kadir. Apabila mereka tahu Milah Cantik datang cepat-cepat Johar menguis bahu Lajak Jongang. Tetapi dia tidak ambil peduli langsung anak-anak muda itu mengusiknya.

Sebaik sampai saja di kedai Mamak Kadir, terus saja Milah Cantik menjengah ke belakang kedai memerhati orang bermain terup. Tidak pernah selama ini dia menjengah ke situ. Selepas terpandang Lajak Jongang bermain terup dia tersenyum mengerling ke arah lelaki duda tersebut.

Lajak Jongang pura-pura tidak nampak Milah Cantik memerhatikan dia. Anak-anak muda yang mengejek juga terdiam dengan perubahan Milah Cantik mengerling dan tersenyum merenung Lajak Jongang itu. Mereka melihatnya seperti dalam mimpi saja, bagaimanakah Milah Cantik boleh tersenyum merenung Lajak Jongang.

Sejak dari hari itulah Milah Cantik sentiasa teringatkan Lajak Jongang. Tidur pun sentiasa termimpi-mimpikan Lajak Jongang datang. Dia merasa gembira apabila dibelai Lajak Jongang. Setiap malam seperti ada saja orang memandunya datang menemui Lajak Jongang di rumah lelaki duda bermuka bokop itu.

"Rumah abang buruk..." bisik Lajak Jongang merangkul tubuh gadis itu.

"Milah bukan mahu rumahnya" sahut Milah merebahkan kepala ke lengan Lajak Jongang.

"Habis, Milah mahu apa?"

Lajak Jongang memain-mainkan anak rambut Milah Cantik. Setiap sentuhan jari Lajak Jongang tetap mendebarkan dia. Milah Cantik merasakan dunianya hanya untuk Lajak Jongang saja. Dia tidak mahu berenggang walau sesaat pun dari Lajak Jongang.

"Milah mahu apa?" ulangi Lajak Jongang perlahan.

"Milah mahu abang..." sahut gadis itu mengusap-ngusap pipi lelaki duda tersebut.
"Abang tak lawa!"

"Ah, Milah pun bukannya cantik sangat"

"Tapi, Milah memang cantik"

"Abang pun apa kurangnya...!"

"Abang dah tua, duda pula..."

"Tapi Milah, sayangkan abang".

Akhirnya Milah menyerahkan segala-galanya pada Lajak Jongang. Dapatlah Lajak Jongang membalas dendam, setelah Milah Cantik menghina dia ketika di kedai Mamak Kadir. Selama berulang alik berjumpa Tok Batin itulah dia telah memuja Milah Cantik.

Selepas puas melepaskan hawa nafsunya terhadap gadis mentah itu, Lajak Jongang pun memulihkan semula semangat Milah Cantik. Sejak itu Milah Cantik kembali sedar apa yang berlaku. Dia bagaikan mahu menjerit bila menyedari bahawa kehormatannya sudah dinoda oleh lelaki yang dibencinya selama ini.

Apabila dia menyedari dirinya mengandung, Milah Cantik sengaja mendiamkan diri. Dia bimbang kalau dia menerangkan kedudukan sebenarnya tentulah emaknya memaksa dia bernikah dengan Lajak Jongang, sedangkan hatinya tidak terbuka pun mahu menerima Lajak Jongang.

Hinggalah saat Milah Cantik menutup mata dengan meminum racun tikus, tidak siapa pun mengetahui rahsianya. Kecuali Tok Aji satu-satunya yang mengetahui tentang Lajak Jongang. Tok Aji jugalah yang tahu tentang perbuatan Lajak Jongang memuja semangat Milah Cantik supaya menyerah kepadanya.

Ketika hayatnya Milah Cantik disuruh oleh Tok Aji melakukan solat sunat Tahajud setiap malam, supaya dirinya dilindungkan dari sebarang bencana malu. Biarlah masyarakat dapat menerima hakikat sebenarnya bahawa dirinya telah diperalatkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

Sama ada dia melakukannya atau tidak, Tok Aji sendiri tidak tahu. Tetapi menurut cerita Mak Munah memang setiap malam Milah Cantik bangun tengah malam menunaikan solat sunat. Apakah doanya tidaklah diketahui oleh Mak Munah.

Tetapi, mengapa pula dia tergamak meminum racun kalau sentiasa mengerjakan solat?

Disebabkan dia mati ketika mengandung orang-orang kampung menasihatkan Mak Munah supaya mengkebumikan Milah Cantik mengikut kepercayaan mereka iaitu membubuh jarum di tapak tangan, telur di bawah ketiak dan emas di dalam mulutnya. Kononnya, kalau tidak dilakukan begitu dia akan bertukar menjadi langsuyar.

Walaupun Tok Aji tidak bersetuju dengan kepercayaan tersebut, tetapi dia tidaklah membantah. Dia tidak mahu masyarakat akan membuat anggapan buruk pula kalau ditegur kepercayaan mereka. Akibatnya boleh mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat apabila berbantah-bantah.

Dalam masa orang ramai sedang membuat persiapan untuk memandikan, tiba-tiba suasana menjadi gempar bila Lajak Jongang datang menangis-nangis menyembah kaki Mak Munah. Dia mengaku di depan Mak Munah melakukan perbuatan terkutuk itu menyebabkan Milah Cantik mengandung. Dia sendiri tidak menyangka Milah Cantik tergamak membunuh diri. Malah kalau Milah Cantik sudi dia sanggup mengambilnya menjadi isteri.

Akhirnya Lajak Jongang terpaksa menceritakan semua yang dilakukannya terhadap Milah Cantik. Orang-orang kampung mendengar pengakuan itu dengan rasa benci, kerana selama ini mereka menuduh tentulah kalau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Dengan pengakuan Lajak Jongang itu barulah mereka sedari bahawa Milah Cantik hanya teraniaya selama ini.

Serentak dengan itu Mak Munah sudah mencapai parang mahu menerkam Lajak Jongang. Terpaksalah orang ramai mententeramkan keadaan.

"Yang mati, dah tentulah mati...!"

Ketua Kampung mengingatkan Mak Munah.

"Jangan yang hidup pula, tak ada beban batu digalas. Cukuplah Munah, jangan ikutkan sangat perasaan kau" nasihat Ketua Kampung.

"Binatang ni salah, binatang ni salah!" Mak Munah menangis teresak-esak sambil meronta mahu melepaskan diri dari pegangan orang ramai.

Lajak Jongang tidak berganjak menunggu serangan Mak Munah. Dia seolah-olah menyerahkan diri saja tidak bertindak melarikan diri pun.

"Munah...!' Tok Aji pula bersuara.

"Pengakuan Lajak di hadapan orang ramai ini satu rahmat besar dari Allah. Sepatutnya kau bersyukur, kerana Allah telah menunjukkan kepada hambaNya bahawa anak kau tidak berdosa. Dia dianiaya" jelas Tok Aji meminta Mak Munah bertenang.

Semakin lemah Mak Munah dipegang ramai-ramai. Dia tidak berdaya lagi mahu meronta. Kalau ikutkan perasaannya memang dia tidak benarkan Lajak Jongang menjejakkan kaki ke rumahnya. Tetapi Lajak Jongang sedikit pun tidak mengangkat muka walau dimaki macam mana pun.

"Sabarlah Munah" pujuk Tok Aji lagi.

Mak Munah dipapah ke dapur untuk meredakan suasana kerana Lajak Jongang tetap melutut di sisi jenazah. Dia tidak mahu berundur walaupun orang ramai menasihatkan dia supaya meninggalkan rumah tersebut buat sementara waktu. Bila keadaan sudah pulih barulah diselesaikan perkara itu dengan Mak Munah.

Ketika jenazah hendak dimandikan orang menjadi bingung kerana mereka tidak terangkat jenazah untuk ditatang ke tempat dimandikan. Hingga tujuh lapan orang lelaki mencuba mengangkatnya, tetapi jenazah tidak bergerak sedikit pun.

Puas mencubanya, maka mereka pun mengadukan hal itu kepada Ketua Kampung.

"Macam mana Pak Aji...?" tanya Ketua Kampung dalam kebingungan.

"Tak pernah pula saya menemui kejadian macam ni seumur hidup saya" katanya keheranan mendengar penerangan dari orang-orang yang mahu memandikan jenazah.

"Lajak..." Tok Aji memanggil Lajak Jongang.

"Boleh jadi dia meminta pertolongan kau" ujarnya menyuruh Lajak Jongang mengangkat jenazah itu ke tempat hendak dimandikan.

Mudah saja Lajak Jongang menatang jenazah itu seorang diri. Heran juga orang yang mengangkat mua-mula tadi, kerana mereka telah mencubanya beramai-ramai tetapi tidak berjaya. Bagaimana dengan Lajak Jongang hanya seorang diri saja boleh mengangkat jenazah tersebut.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-7-2013 01:48 AM | Show all posts
7~ Mayat Menjadi Berat Tetiba

Mereka mula menuduh Lajak Jongang masih menggunakan ilmu Tok Batin, sebab dia sendiri mahu mengangkat jenazah Milah Cantik. Memang Lajak Jongang yang menyebabkan mayat menjadi berat. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan mereka supaya tidak menuduh sesuka hati.

"Serahkan kepada Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui..." Tok Aji mengingatkan mereka.

Tetapi mereka tidak puas hati dengan alasan Tok Aji. Saudara mara Mak Munah juga menyimpan dendam pada Lajak Jongang. Kalaulah tidak mengenangkan Tok Aji dengan Ketua Kampung memang mereka mahu menghalau Lajak Jongang dari situ. Kedatangan Lajak Jongang semata-mata untuk menimbulkan keributan saja.

"Entah apa tangkal yang dipakainya, fasal itu jenazah jadi berat" rungut salah seorang dari mereka.

Tok Aji tidak peduli sangat dengan rungutan demikian. Dia hanya memberi nasihat, kalau orang tidak mahu mendengar nasihatnya dia tidak ambil peduli sangat. Terpulanglah pada orang itu sama ada mahu menerima nasihatnya atau tidak.

Setelah selesai dimandikan dengan sempurna maka dikapankan oranglah jenazah Milah Cantik. Terpaksalah Lajak Jongang mengangkat jenazah itu untuk dikapankan dan kemudiannya diletakkan di depan Tok Aji untuk disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan dimasukkan ke dalam usungan. Lajak Jongang juga terpaksa membawanya ke dalam usungan.

Ketika usungan hendak dibawa ke kubur sekali lagi tidak dapat dilakukan. Usungan tidak bergerak langsung dan mereka yang memikul usungan terasa jenazah itu terlalu berat. Mahu tidak mahu dipanggil juga Lajak Jongang memikul usungan.

Barulah orang-orang yang merungut tadi sedar akan kata-kata Tok Aji hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Kalau semasa memandikan jenazah bolehlah mereka menuduh Lajak Jongang menggunakan tangkal azimat supaya jenazah menjadi berat, bagi membolehkan dia memeluk jenazah untuk melepaskan geramnya kepada gadis kesayangannya. Tetapi bagaimana pula dengan usungan?

Sepanjang jalan kira-kira setengah batu menuju ke tanah perkuburan Lajak Jongang tidak dapat bergilir-gilir seperti orang lain memikul usungan jenazah. Kalau Lajak Jongang menukarkan kepada orang lain maka usungan itu tidak dapat dibawa bergerak ke depan.

Masing-masing merasa terlalu berat. Mereka tidak dapat melangkah langsung. Mahu tidak mahu terpaksa juga Lajak Jongang memikulnya dengan tidak dapat bergilir-gilir. Lajak Jongang tidak membantah. Dia terpaksa melakukan kerana dia merasa berdosa menyebabkan Milah Cantik jadi demikian.

Untuk menebus dosanya, dia sanggup melakukan apa saja di hari pengebumian Milah Cantik. Orang ramai yang melihat Lajak Jongang berpeluh-peluh memikul usungan itu mula merasa simpati terhadapnya. Tetapi mereka tidak dapat menolong. Walaupun ada orang yang mahu menggilirkan dia memikul usungan, tiba-tiba saja usungan tidak bergerak. Kaki mereka tidak dapat melangkah kerana menahan beban yang terlalu berat.

"Sabarlah, Lajak" bisik Tok Aji yang berjalan berhampiran dengannya.

Lajak Jongang hanya mengangguk. Dia teringat juga akan masa manisnya bersama Milah Cantik, sekalipun melalui guna-guna yang dipuja oleh Tok Batin. Memanglah Milah Cantik bukan dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada dia, namun kenikmatan itu tetap tidak dapat diluputkan dari jiwanya.

"Ingatlah, Allah Maha Pengampun..." Tok Aji memberi nasihat kepadanya kerana kasihan melihat Lajak Jongang tersenget-senget bahu memikul usungan jenazah.

Lajak Jongang tidak menyahut. Dia mengangguk lemah. Air matanya berlinang di pelupuk mata menyesali perbuatannya terhadap gadis mentah yang tidak berdosa itu.

Apabila sampai di kubur, sekali lagi menjadi kecoh kerana jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad. Mereka semua tidak terdaya mahu mengangkat jenazah. Disebabkan mereka sudah tahu masalahnya, maka disuruh saja Lajak Jongang masuk ke dalam kubur menyambut jenazah.

Lajak Jonganglah menyambutnya, dan dia jugalah yang memasukkan jenazah ke liang lahad. Sebaik saja orang mengambuskan tanah, tiba-tiba Lajak Jongang tidak dapat mengangkat kakinya. Dia meronta-ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di tanah.

"Tanah ni lekit..." katanya sambil menghulurkan tangan minta ditarik ke atas. Sebaik saja mahu ditarik ke atas kakinya semakin tenggelam. Terpaksalah berhenti orang menariknya. Asal saja cuba ditarik maka kakinya akan bertambah tenggelam. Puas Lajak Jongang meronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak juga berjaya.

Selagi Lajak Jongang tidak ditarik naik ke atas maka kubur tersebut tidak dapat dikambus. Memang keadaan semakin terdesak. Tok Aji pun menyuruh Lajak Jongang berastaghfar. Masing-masing bertambah bingung dengan kejadian yang berlaku tidak semena-mena itu.

"Cuba kau melompat Lajak..." ujar Mak Munah yang mula kasihan melihat Lajak Jongang bersusah payah mengkebumikan anaknya.

Lajak Jongang cuba melompat tetapi tidak boleh bergerak. "Kaki saya panas" katanya mendongak ke atas terkebil-kebil mata. Suaranya gementar dalam ketakutan.

Tok Aji mengadap kiblat terus azan dengan lantang suaranya. Selepas azan Tok Aji merenung ke liang lahad, lalu dia masuk ke lubang kubur. Tok Aji membongkok bagaikan bercakap-cakap dengan jenazah Milah Cantik. Kemudian dia berdiri semula sambil berkata dengan tenang,

"Milah, pergilah kau saja. Tinggalkan Lajak di sini, biarlah urusan Allah diserahkan kepada Allah".

Setelah itu Tok Aji memberi isyarat supaya Lajak Jongang ditarik ke atas. Barulah Lajak Jongang dapat ditarik. Selepas itu disempurnakanlah pengkebumian Milah Cantik. Bagaimanapun Lajak Jongang tidak lama kemudiannya jadi gila. Seluruh badannya dipenuhi tokak. Kira-kira dua tahun dia menanggung pernderitaan itu, Lajak Jongang pun meninggal dunia.
Reply

Use magic Report

Post time 20-7-2013 03:52 AM | Show all posts
haha lawak ni cerita...
Reply

Use magic Report

Post time 20-7-2013 06:56 PM From the mobile phone | Show all posts
Best citer tt!x sbar nk baca yg baru..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2013 06:53 AM | Show all posts
8~ Dendam si Angut Lumpuh

Sebatang parit yang melintasi tengah kampung selalu dikaitkan oleh orang-orang kampung dengan dendam Angut Lumpuh. Siapa saja yang terkena dendam Angut Lumpuh nescaya akan menjadi lumpuh kalau umur panjang, sebaliknya kalau sampai ajal akan mati. Apakah yang dikatakan Angut Lumpuh ini pun saya tidaklah tahu sangat, cuma Kadir Misai yang mengajak saya ke Jerantut di Pahang apabila adiknya dikatakan sakit akibat disampuk dendam Angut Lumpuh ini.

Kadir Misai pun hanya mengesyaki saja adiknya disampuk dendam Angut Lumpuh. Ini disebabkan apabila penduduk kampung itu diserang sakit luar biasa, maka mereka akan cepat mengesyaki terkena sampuk Angut Lumpuh.

Kerana tidak mahu menghampakan hati Kadir Misai saya pun bersetuju ke Jerantut pada malam itu juga. Lagi pun saya sendiri ingin untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kalau puaka mengapa pula dinamakan Angut Lumpuh? Kalau jenis syaitan dari mana pula datangnya nama Angut Lumpuh?

Ketika saya sampai di rumah ayah Kadir Misai, memang adiknya berumur 13 tahun masih tidak sedar diri. Kata Lebai Man iaitu ayah Kadir Misai sudah tiga hari Zuki anaknya tidak sedarkan diri.

"Kenapa awak tak panggil Ulung Bahar di Lancang?" tanya saya pada Kadir Misai.

"Ah, awak pun sama juga ustaz..." bisiknya.

"Tapi lebih elok orang sini juga" kata saya cuba menarik perhatian dia.

"Mana nak ingat semua tu, dalam keadaan macam ni" ujarnya sambil memanjangkan bibir menunjuk ke arah adiknya yang terlentang di tengah rumah.

"Kawan ingat, usaz pun bolehlah..." jelasnya perlahan

."Ha, cubalah ustaz" Lebai Man pula menggesa.

Sukar juga saya mahu membuat keputusan. Orang sudah mendesak supaya saya tengokkan Zuki. Kalau saya mahu berdalih mengapa tidak menolak semasa Kadir Misai datang menjemput ke rumah. Sebenarnya saya datang hanya untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu.

Kebetulan Dukun Pak Cu Jabat sudah mengubatnya. Dia sendiri meminta saya pula mencubanya. Dukun Pak Cu Jabat juga mengesyaki memang angkara Angut Lumpuh. Dari dialah saya diberitahu mengenai parit yang melintasi kampung, yang telah saya lalui bersama Kadir Misai ketika datang ke situ, memang ada kaitan dengan Angut Lumpuh ini.

Beberapa tahun dulu anak saudara dia meninggal dunia setelah terkejut melihat seorang perempuan tua berjalan menginsut punggung di dalam parit tersebut. Dia tidaklah meninggal dunia sebaik saja melihat perempuan tua itu, sebaliknya jatuh demam. Budak baru berumur empat tahun itu memberitahu emaknya dia ternampak seorang nenek tua menginsut punggung mudik parit tersebut.

Kira-kira sebulan lebih budak itu sakit, dia pun meninggal dunia. Dukun Pak Cu Jabat memberitahu kalau ternampak perempuan tua itu nyatalah dia Angut Lumpuh. Maksudnya Angut ini ialah nenek kepada nenek. Sekiranya ternampak dia mudik bererti susahlah hendak diselamatkan pesakit berkenaan, sebaliknya kalau dia menginsut ke hilir masih ada harapan untuk sembuh, tetapi mangsanya itu akan lumpuh.

Dia juga menceritakan seorang lelaki tepok di dalam kampung itu yang disebabkan angkara dendam Angut Lumpuh. Kaki dan tangan sebelah kanannya menjadi lumpuh setelah sembuh dari sakitnya. Lelaki itu sekarang sudah berumur lebih 40 tahun dikenali sebagai panggilan Apat Tepok saja.

Seorang lagi sepupu Lebai Man menjadi tidak siuman selepas sembuh dari sakit yang dikatakan akibat terkena sumpahan Angut Lumpuh ini. Sebenarnya sudah banyak mangsa Angut Lumpuh itu sejak beberapa tahun dulu. Parit itu adalah anak sungai kecil yang mata airnya terbit dari bukit dalam kampung itu juga, sekarang ini bukit berkenaan sudah pun ditebang tebas dijadikan kebun getah.

"Kalau ternampak Angut Lumpuh tu di dalam parit tu, hah tanda nahaslah tu..." ujar Dukun Pak Cu Jabat.

"Ada yang terjumpa?" tanya saya.

"Siapa yang jumpa Angut Lumpuh, kalau tak lumpuh, mati..." sahut Lebai Man pula menguatkan lagi dakwaan Pak Cu Jabat.

"Zuki ni jumpa?" soal saya lagi.

"Tak taulah..." beritahu Lebai Man perlahan. "Tengah makan tiba-tiba dia pening kepala, langsunglah tak sedar diri. Fasal itulah kawan telefon pada Kadir di Kuala Lumpur" jelas orang tua itu seterusnya.

Lama saya memikirkan apakah cara mahu dilakukan terhadap Zuki. Kalau Pak Cu Jabat seorang dukun sudah berusaha memulihkan, pada hal dia sudah berpengalaman sekian lama di situ tetapi tidak berhasil, bagaimana pula saya mahu mencubanya.

Kerana tidak terfikirkan cara yang lain, lalu saya mengajak semua orang yang ada di situ bersama-sama dengan saya membaca Yasiin. Mereka bersetuju dengan cadangan saya, iaitu membaca Surah Yasiin. Lebai Man juga setuju saya mengepalai bacaan Yasiin tersebut.

Tiga kali bacaan Yasiin dibuat barulah saya dapati Zuki mula menggerakkan badannya. Bagaimanapun dia masih tidak sedarkan diri. Dia seolah-olah mahu bangun untuk melompat ke tanah, tetapi tenaganya masih lemah. Zuki terbaring semula. Apabila dipanggil namanya dia tetap mendiamkan diri.

Hati saya lega kerana Zuki sudah mula menggerakkan badan. Walaupun dia masih belum sedarkan diri, namun ada perubahan juga. Tidaklah terlentang tidak bergerak-gerak seperti mula-mula saya datang. Saya sampai di rumah Lebai Man kira-kira jam 11.30 malam. Ketika ini masih ramai lagi orang datang menziarahi Zuki.

Saya lihat Pak Cu Jabat juga tersenyum dengan perubahan Zuki. Setelah setengah jam Zuki boleh menggerakkan badan, dia pun mula berpusing ke kiri ke kanan dalam keadaan masih lemah. Nafasnya saja kencang turun naik. Dia tidak bercakap apa-apa pun.

"Ada perubahan nampaknya, ustaz..." kata Dukun Pak Cu Jabat.

"Alhamdulillah..." sahut saya perlahan.

"Dukun ni bukan kira besar kecil, kira rasi" ujar Pak Cu Jabat mengurut-ngurut misainya. "Kira rasi, kalau rasi dukun dengan ubatnya, hah macam kunyit jumpa kapur aje laa" dia terangguk-angguk puas hati dengan perubahan Zuki yang sudah tiga malam tidak bergerak-gerak.

Semakin lama semakin keras Zuki berpusing ke kiri ke kanan. Terpaksa pula Kadir Misai memegangkan kakinya. Tetapi cepat saja kaki Zuki menyinggahi dada Kadir Misai. Terundur juga Kadir Misai ke belakang bila kaki itu menerjah ke dadanya.

"Mari kita cuba sama-sama Pak Cu" saya menepuk bahu Pak Cu Jabat.

"Silakan dulu..." dia menyuruh saya terus menghadapi keadaan Zuki yang semakin keras.

"Pak Cu bantulah saya" kata saya mengharapkan dia sama-sama menggunakan kemahirannya.

"Iya, ya...silakan" ujarnya sambil rapat kepada Zuki.

Zuki tidak meronta-ronta, tetapi dia membalikkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Makin lama semakin kencang dia membalikkan tubuh ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Pak Cu Jabat sudah terkumat kamit mulut membacakan ayat-ayat tertentu, yang saya tidak tahu apakah ayatnya. Seperti Ulung Bahar yang pernah saya temui, Pak Cu Jabat juga tidak menggunakan kemenyan, bertih, limau atau ramuan-ramuan khas bagi mengubati pesakit.

Zuki masih membalik-balikkan tubuh ke kiri ke kanan. Sekali-sekala dia mendengus bagaikan hidung tersumbat. Saya menyorot tubuhnya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lama kelamaan tubuh Zuki hilang dari sorotan saya. Keliling saya menjadi gelap seketika.

Setelah melepasi kegelapan itulah saya dapati diri saya terlalu jauh di dalam kawasan hutan yang terdapat satu parit anak sungai yang kecil. Parit tersebut sama seperti parit yang melintasi di tengah-tengah kampung Kadir Misai. Cuma keadaan kelilingnya saja dipenuhi hutan dan anak-anak pokok.

Lama saya berlegar-legar mencari punca di manakah saya telah sampai. Akhirnya saya dapat mengangak bahawa anak air yang saya temui itu adalah anak air di kampung itulah seperti keadaannya beberpa puluh tahun dulu.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

3-6-2023 05:04 AM GMT+8 , Processed in 0.101639 second(s), 37 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list