CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 380|Reply: 2

[Johor] [JHR] Winter Sonata Labis

[Copy link]
Post time 7-1-2022 10:57 AM | Show all posts |Read mode

ANTARA tarikan utama di Labis Sunrise Farm adalah deretan tanaman pokok pinang yang selalu menjadi tarikan pelancong untuk mengambil gambar. FOTO BERNAMA



Labis: Winter Sonata, drama Korea yang cukup popular ketika disiarkan kira-kira dua dekad lepas, bukan sahaja mewujudkan komuniti peminat K-drama di negara ini tetapi juga memperkenalkan keindahan Korea Selatan, khususnya Pulau Nami yang menjadi antara lokasi penggambaran drama itu.

Justeru, tidak menghairankan jika kini pulau itu menjadi tumpuan pelancong yang mahu merakam momen indah persis watak dalam Winter Sonata. Namun, bagi yang tidak berkesempatan mahupun berkemampuan ke sana, ada destinasi alternatif ala Pulau Nami di negara ini.

Terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Labis dan 25.4 km dari Segamat, ladang buah-buahan dan tanaman berkonsepkan agropelancongan Labis Sunrise Farm menawarkan kelainan dengan pengunjung yang menginap di situ berpeluang melihat keindahan matahari terbit di antara Gunung Ledang dan Gunung Maokil.

Selain itu, pengunjung juga akan dibawa menelusuri dusun dan ladang yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan, dan jika kena pada musim, berpeluang menikmati durian segar selain buah-buahan tidak bermusim seperti nangka, jambu air dan nanas.

Teruja untuk melihat keindahan matahari terbit, penulis yang menyertai Program Ekspresi Media: Southern Hidden Gem anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini bangun seawal 5 pagi dan menunggu di depan tingkap bilik penginapan, pada ketinggian 350 meter dari aras laut.



Namun hujan gerimis pada waktu subuh mengundang kabus dan hanya cahaya jingga kelihatan beransur-ansur meninggi di celah dua gunung berkenaan.

Pun begitu, kehijauan ladang berserta suhu sejuk kira-kira 16 darjah Celsius memberikan suasana yang begitu nyaman dan menyegarkan. Tidak sia-sia penulis bangun seawal itu.

Bagi yang ingin melihat dengan lebih jelas saat terbit matahari itu, menara tinjau tersedia di bangunan penginapan tersebut. Istimewanya, pengunjung boleh menikmati keindahan pagi sambil bersarapan di menara berkenaan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-1-2022 10:59 AM | Show all posts
  

LADANG tanaman berkonsepkan agropelancongan. FOTO BERNAMA



Berbentuk rumah tradisional Melayu yang dihiasi ukiran kayu keras warisan masyarakat Johor, kemudahan itu menawarkan 20 bilik penginapan dengan setiap bilik boleh memuatkan sebuah keluarga kecil.

Usai bersarapan dengan buah-buahan termasuk durian beku yang menjadi hidangan pengenalan Labis Sunrise Farm, rombongan penulis yang turut disertai oleh 16 lagi pengamal media, dipelawa menelusuri ladang buah dan juga tanaman di kawasan seluas 150 ekar (60 hektar) tersebut.

Lapan daripada kami menaiki bas mini, mengingatkan penulis pada zaman persekolahan dahulu. Sepanjang 30 minit perjalanan, mata kami dihidangkan dengan keindahan dusun yang ditanam dengan lebih 30 jenis pokok buah-buahan.

Antaranya ladang jambu air seluas 16 hektar.

Namun yang paling menarik perhatian penulis semasa perjalanan itu adalah ladang pokok pinang yang membuatkan kami seolah-olah berada di Pulau Nami, menyebabkan kami berhenti sekejap bagi merakam kenangan.

"Memang kawasan ini digelar Winter Sonata oleh pengunjung," kata Pengarah Urusan Labis Sunrise Farm House Resort Tang Qian Wei yang mengiringi kami.

Menurutnya, ladang seluas empat hektar itu ditanam hingga 10,000 batang pokok pinang dan sentiasa menjadi tumpuan peminat fotografi serta dianggap lokasi Instagrammable (sesuai untuk dirakam dan dimuat naik ke media sosial Instagram).

Mengimbas sejarah ladang itu, Tang berkata, kawasan tanah bukit tersebut dibeli oleh ayahnya, Tang Chong Chon kira-kira 34 tahun lalu bagi memulakan perniagaan buah-buahan, dan ramai yang menganggap usaha berkenaan sebagai 'kerja gila.'

"Pada mulanya, bapa saya membeli tanah ini untuk menanam tembikai dan tembikai susu, namun perlahan-lahan beliau mula menanam pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti jambu, nangka, durian, nanas dan sebagainya.

"Akhirnya pada 2009, ladang ini menjadi pusat sehenti pemborong buah-buahan di sekitar Johor," cerita wanita itu.

Menurutnya lagi, ladang itu juga menjadi destinasi kunjungan pelancong, khususnya dari Singapura yang datang untuk meraih pengalaman memetik sendiri buah-buahan.

"Siapa sangka, ladang ini menjadi lokasi persinggahan wajib buat mereka yang datang ke Segamat ataupun Muar," katanya.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-1-2022 11:01 AM | Show all posts

ZOO mini menjadi tarikan terutama kepada kanak-kanak. FOTO BERNAMA



Menurut Tang, populariti ladang itu sampai ke pengetahuan agensi pelancongan tempatan yang kemudian menjadikan Labis Sunrise Farm sebagai antara lokasi 'wajib lawat dan inap' pelancong dari dalam dan luar negara.

"Labis Sunrise Farm House Resort beroperasi secara rasmi pada 2015," tambahnya yang mengusahakan ladang itu bersama tiga adik-beradiknya.

Tang berkata, satu lagi keistimewaan ladang itu ialah tanaman diusahakan secara organik dengan memanfaatkan baja kompos yang terhasil daripada sampah daun dan dahan pokok.

Bagi mereka yang sukakan aktiviti perkhemahan dan berkebun, Labis Sunrise Farm pasti menjanjikan kepuasan dengan pakej sewa khemah berharga serendah RM25 hingga RM338, bergantung pada kapasiti dan kemudahan yang disediakan.

Kata Tang, aktiviti itu menjadi tarikan terbaharu Labis Sunrise Farm dan kian mendapat sambutan.

"Penginap atau pengunjung diberikan pendedahan gaya hidup pekebun sebenar dan merasai sendiri proses menggembur tanah menggunakan mesin pembajak, membungkus dan membalut buah-buahan serta memberi makanan kepada haiwan ternakan seperti arnab, ayam, ikan dan kura-kura di mini petting zoo.

"Buat masa ini keluasan tapak perkhemahan hanya sekitar tiga ekar (1.2 hektar) dan kami bercadang menambah keluasan kerana sambutan sangat menggalakkan, terutama selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri," katanya.

Selain itu, Tang berkata, pihaknya juga mengusahakan penanaman buah gac atau tempurang yang amat jarang dijumpai di Malaysia.

"Buah ini unik kerana selain warna buah yang menarik seperti lampu isyarat, iaitu merah, jingga dan hijau, gac juga popular dalam kalangan pesakit kanser untuk melegakan penyakit mereka, terutama selepas rawatan kemoterapi kerana kaya dengan beta-karotena dan likopena.

"Pokok ini ditanam dalam bentuk menjalar dan memerlukan kayu untuk menyokongnya... Tanaman ini akan berbunga selepas dua hingga tiga bulan ditanam dan berbuah mengikut musim iaitu November hingga Februari," katanya.

Ketika lawatan kami ke ladang buah gac, kami turut diberi penjelasan mengenai sarang lebah kelulut yang terletak berhampiran.

"Oleh kerana tanaman buah gac adalah diesius, iaitu kedua-dua tumbuhan jantan dan betina diperlukan untuk pendebungaan, kehadiran lebah kelulut membantu dalam proses 'mengahwinkan' kedua-dua tumbuhan menerusi pemindahan butiran debunga dari benang sari bunga jantan ke stigma betina," jelasnya.

Tang berkata, pihaknya menawarkan pelbagai jenis pakej percutian, antaranya pakej dua hari satu malam, tiga hari dua malam serta rombongan ke ladang buah-buahan, merangkumi pengalaman mengutip dan memetik buah, kemudahan rekreasi seperti karaoke, bilik seminar serta aktiviti kraf tangan kanak-kanak Do-It-Yourself (DIY).

"Selain itu, kami turut menawarkan pakej seminar ataupun syarikat-syarikat korporat yang ingin mengadakan team building dengan harga berpatutan. Semua 20 bilik penginapan kami dihiasi mural hasil kerja tangan pekerja-pekerja kami di sini," katanya.

Disiarkan pada: Januari 7, 2022 @ 6:31am



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

25-6-2022 04:00 PM GMT+8 , Processed in 1.597918 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list