|
JIKA sebelum ini penyanyi Ning Baizura membuat keputusan meninggalkan Artiste United Records (AUR) yang diusahakan bersama Vernon Kedit Jolly, kini bekas pengurus Ning itu juga angkat kaki meninggalkan AUR.
Tanpa sebarang pergaduhan, pengurus artis berpengalaman itu meletakkan jawatan apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada pemilik AUR dan Box Lite Film Sdn Bhd, Michael Ang minggu lalu.
Namun sebelum itu, Vernon turut memaklumkan hasratnya meletak jawatan kepada Michael menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), dua minggu lalu.
Satu majlis santai diadakan baru-baru ini oleh AUR untuk menjelaskan situasi yang berlaku, sekali gus memaklumkan perancangan AUR untuk mengetengahkan artis di bawah naungannya.
Michael berkata sepanjang bekerjasama mereka tidak pernah bergaduh.
Tetapi, dia perasan ada perubahan ke atas Vernon sebelum meninggalkan syarikat.
Sekalipun, perubahan itu tidaklah ketara, namun Vernon dilihat seperti ada yang tidak kena.
“Saya juga ada bertanya kepadanya sekiranya menghadapi sebarang masalah.
“Bagaimanapun, dia kata pada saya tiada apa-apa. Jadi, apabila sudah mendengar penjelasan itu tidak perlulah saya bertanya lebih-lebih. Justeru, saya fikir dia ‘biasa’ saja.
“Bagaimanapun, selepas mendapat SMS dan surat peletakan jawatannya, saya tahulah dia mahu berhenti kerja.
“Namun, tindakan itu tidaklah begitu mengejutkan saya kerana memahami keluar dan masuk pekerja ini adalah lumrah kepada syarikat. “Oleh itu, sekarang segala jadual persembahan artis AUR seperti Nikki, Nubhan dan Erra Fazira digalas Mohd Pauzi Abdul Samad (Poji) selaku pengurus.
“Menerusi, penjelasan ini juga saya harap tiada spekulasi timbul mengenai peletakan jawatan itu,” katanya.
Menurut Michael, kini perancangannya adalah untuk menyiapkan album solo pertama Nubhan yang memuatkan lapan lagu baru, satu Mandarin dan satu remix.
Dijangkakan album itu berada di pasaran sekitar hujung tahun ini dan rakaman akan bermula pada Ramadan nanti. |
|